September 12, 2013

Apa Lagi Rakyat Mahu?

Apa lagi rakyat mahu? teriak mereka
Negaramu damai buminya sejahtera
Bersyukurlah masih punyai kerja
Walau korupsi dan penindasan berleluasa.

Suara hati sang rakyat wahai aristokrat
Bukan menagih wang bertingkat
Bukan mendamba kuasa dan pangkat
Apa lagi merompak harta kapitalis bangsat.

Jiwa kecil sang rakyat
Cuma mahu keadilan meraja
Tegar mengharap dunia saksama
Rintihan pilunya dipeduli didengar
Kongkongan kesempitannya dibebas merdeka.

Cengkaman sayu tajam menggigit kalbu
Melihat si kaya melabur beribu demi sehelai baju
Bila mana gelandangan terdesak tiada tempat beradu
Saat bocah kecil termenung tiada wang membeli buku
Luka di hati, ah Tuhan saja yang tahu.

Musnah dan punah api amanah
Tika nafsu dijulang bermaharajalela
Doaku moga si pemerintah serakah
Terkulai layu dek belitan dosa.

September 10, 2013

Ratapan Si Pelacur Tua.

Dia si pelacur tua
Terperosok hampa dalam penjara jalanan
Lakaran riak wajahnya lompong perasaan
Terkandung perit sejuta bunga penyesalan.

Mimpi si pelacur tua
Minta dilolos dari lorong bersarang nista
Minta dibolos dari dipalit jelingan hina
Apakan daya
Kerahan kudratnya tiada kuat buat berperang
Langkahnya lelah, tersungkur layu tatkala diperah
Babak hitamnya menghempas musnah prinsip dipegang
Pasrah dia menyerah, membiar serigala melapah.

Sedang si raja tertawa riang bergelumang wang
Sedang si kaya haloba teras ekonomi terburai
Tersorok kelibat si pelacur tua
Sesak menyusuri liku kehidupan bertinta suram
Tercalit gelaran sundal dek hutang tak langsai.

Meratap malang si pelacur tua
Kelabu nasibnya, bertebaran punah di haluan kelam
Namun jiwa sucinya tekad mendodoi harapan
Dihadiahkan keampunan saat kaku menghadap Tuhan.

September 8, 2013

Pesanan Ayah.

Sejak aku kecil, ayah merupakan sumber pertama untuk aku mendapatkan ilmu dan jawapan untuk semua pertanyaan. Semua bidang tidak kiralah agama, politik, sejarah, seni atau sains pasti akan aku tanya kepada ayah dan beliau akan menjawab soalan aku dengan tenang sekali. Walaupun adik adik aku kurang gemar apabila ayah aku mula 'bersyarah', namun minat aku mendengar ceramah sudah ada sejak aku kecil. Kerana itu aku gemar memanggil diri sendiri dengan gelaran 'nerd' kerana aku suka mencari ilmu dan suka berfikir walaupun benci belajar untuk peperiksaan. Haha.

Sudah beribu atau mungkin berjuta nasihat yang telah ayah berikan kepada kami adik beradik, namun sebagai seorang manusia yang memang nakal dan suka kebebasan, entah berapa kerat sahaja nasihat itu yang aku ikuti. Semakin usia aku melonjak ini barulah aku menyedari betapa relevannya nasihat nasihat yang telah diberikan oleh ayah selama ini.

Ada satu nasihat dari ayah yang aku amat ingati sehinggalah sekarang. Nasihat ini jugalah yang menjadi prinsip hidupku, pegangan yang tidak mungkin aku lupakan sampai roh berpisah dengan badan.

"Sya, sentiasa ingat, dalam setiap harta orang kaya itu pasti ada harta orang miskin," ujar ayah sewaktu memandu kereta tempoh hari. Aku terkebil kebil memandang ayah.

"Jangan pernah bermewah mewah melebihi keperluan. Cukuplah harta yang kamu ada itu untuk kamu makan dan minum dan jalankan tanggungjawab kamu kepada keluarga dan masyarakat. Selebihnya, sedekahkan, sebarkan kebaikan kepada dunia. Tidak perlu ada rumah dan kereta mahal bila ada ramai orang miskin dalam kalangan kita. Tuhan bagi rezeki lebih kepada seseorang manusia itu adalah untuk dikongsi dengan manusia manusia lain. Itu adalah satu amanah, satu tanggungjawab. Jika kamu ada sejuta ringgit pun dalam bank, dan kamu mati, sejuta ringgit tadi tidak berguna sedikit pun untuk kamu jika kamu tak gunakan duit itu untuk kebaikan. Jika kamu ada sepuluh kereta mewah pun, dan bila kamu mati, sepuluh kereta mewah tadi kamu tak akan boleh bawa bersama. Malah, jika kamu riak bila menjadi tuan kepada sepuluh kereta mewah, ia mungkin akan membuat kamu binasa di sana.

Setiap manusia dalam dunia ini adalah pejuang. Namun, pejuang yang sebenar tidak mungkin kaya dengan harta. Pejuang yang sebenar tidak mungkin kisah dengan status, pangkat dan nama. Kerana pejuang yang sebenar tahu, harta yang diberikan oleh Tuhan kepadanya itu adalah milik masyarakat, bukan milik dia seorang. Pejuang yang sebenar juga tahu, status pangkat atau nama yang dia ada itu hanyalah pemberian manusia, tidak bererti apa apa.

Jika kamu benar benar ingin berjuang, jadilah pejuang yang sebenar - pejuang yang ikhlas dan tidak mahukan apa apa di dunia, hanyalah kebaikan dan kebaikan. Bukan pejuang demi mencapai harta, pangkat, status atau nama. Ingat benda ni, Sya."

Aku merenung wajah ibu bapaku dan menarik nafas panjang. Tentu, aku akan cuba sedaya upaya, setakat yang aku mampu. Doakan aku.

September 3, 2013

Sejarah Yang Terjajah.

Belahan angin sepoi menghembus riuhan suara permai desa
Kokok ayam lantang menyahut memuji indah kuasa Pencipta
Sorot mentari terik menyakat petani yang mengeluh dahaga
Anak kecil tertawa riang memaut ketat julangan mimpinya.

Namun, itu dulu
Itu sebelum serakah penjajah merogol tiada kasihan
Itu sebelum bumi terbentang ternoda jadi ratahan
Itu sebelum nasib si malang ditoreh penuh kerakusan
Itu sebelum darah muda terhambur tanpa dipedulikan.

Apa masih bisa penakluk jelik itu diagungkan
Dianggap wira juang oleh kita dari masa hadapan
Walhal keturunan kita mereka perkotak-katikkan
Mudah benarkah karya kekejaman itu dikelamkan?

Ribut dan kabut merasuk tatkala tawarikh diubah
Korban si pejuang dinafi tanpa apresiasi
Sedang mereka meronta bergelumang darah
Penjilat kolonial ghairah memuncakkan diri.

Sudah!
Titipkan titik noktah
Cukup-cukuplah menyembah memulia sang pemusnah
Telah lahir masanya saat sejarah jadi cerah
Mengangkat kembali martabat yang bermaruah.

Buang segala sisa tinggalan bekas mereka di pelusuk jalanan
Tanahku berdaulat, bukan artifak eksperimentasi penjajahan.




*Sebuah puisi buat golongan kiri yang dinafikan perjuangan mereka dalam menuntut kemerdekaan negara. Puisi ini juga sebagai gesaan agar penggunaan nama penjajah seperti Gerald Templer dan Henry Gurney untuk sebarang bangunan atau kawasan diubah dan dihapuskan, sejajar dengan cadangan Pak Ishak Surin melalui ucapannya dalam Forum Merdeka 100% : Sejarah Yang Digelapkan.

Puisi Si Pejuang Pinggiran.

Aku bukan si muda rebel, apakan lagi bergelar anarkis
Bukan juga anak radikal, mahupun si aktivis
Namun ku punyai hak berfikiran kritis
Menggendong tanggungjawab pertahan nasib sadis.

Apa aku tegar menutup mata?
Saat penipuan angkuh bermaharajalela
Saat penderitaan melebar sayapnya
Saat pembodohan dibenar membudaya.

Lahirku di dunia bukan untuk dijajah
Apatah lagi untuk diratah
Silam gelapku, dipahat jadi sejarah
Memangkul kekuatan saat tempuh babak lemah.

Bila mana kemanusiaan mendakap erat kalbuku
Juga penulisan sebagai senjata tajamku
Dan semangat juang belum luntur dan punah
Selagi itu enggan ku kenal erti menyerah
Biarpun kalah.


September 2, 2013

Relevan Di Sebalik Pengibaran Bendera Sang Saka dan Bendera Rakyat Pada Hari Merdeka.

Pengibaran Bendera Sang Saka Malaya dan Bendera Rakyat pada Hari Kemerdekaan sebenarnya adalah luahan hati sesetengah pihak yang mahu perjuangan golongan kiri iaitu golongan bukan pro-British dihargai oleh masyarakat zaman ini. Bendera Rakyat telah pun berkibar secara rasmi pada tahun 1947 semasa Persidangan Afro Asia 1947 di New Delhi. The Straits Time dan Utusan Melayu turut menyiarkan berita ini pada 11 November 1947 dan 11 Disember 1947. Bendera ini telah dipersetujui oleh golongan kiri iaitu Putera-AMCJA, dan kawasan kawasan bandar dan pekan seperti Melaka, Johor Bahru, Kuantan, Sungai Siput, Alor Setar dan Singapura telah mengadakan istiadat menaikkan bendera tersebut. Apabila pulang dari New Delhi, Putera-AMCJA menghantar usul menuntut kemerdekaan dari British, namun ditolak kerana usul ini datang dari golongan anti-British dan bukan pro-British.

Namun begitu, adakah sejarah tentang Bendera Rakyat dan perjuangan golongan kiri ini diberi perhatian dan dihargai? Buku Sejarah juga hanya memaparkan tentang perjuangan golongan pro-British khususnya UMNO dengan lebih terperinci berbanding perjuangan golongan kiri. Malah, mereka turut dikatakan sebagai komunis kerana kebanyakannya ditangkap dan dipenjarakan sewaktu Undang-Undang Darurat 1948 oleh British kerana kononnya memberi ancaman kepada rakyat, walhal mereka sebenarnya merupakan ancaman besar kepada British dan golongan pro-British. Jika mereka merupakan ancaman besar kepada rakyat, mengapa Hartal pada 20 Oktober 1947 yang dianjurkan oleh mereka mendapat sambutan yang amat baik daripada rakyat, sehinggakan ekonomi British tergendala pada hari tersebut? Hartal tersebut juga merupakan bantahan kepada Perlembagaan Federation hasil diskusi UMNO dan British, namun British tetap meluluskan undang-undang tersebut walau ditentang hebat oleh rakyat.

Bagi mereka yang mengatakan warna merah putih dalam Bendera Rakyat itu cuba menyerupai bendera Indonesia, perlu ditegaskan di sini bahawa warna merah putih merupakan warna bendera kebangsaan Melayu di zaman Kerajaan Majapahit semasa abad yang keempat belas dahulu. Warna merah putih mempunyai nilai sentimental yang tinggi kepada bangsa Melayu, oleh itu tidak hairan lah bila negara Singapura dan Indonesia juga menggunakan warna merah putih dalam bendera mereka.

Bendera sesebuah negara tidak boleh ditukar melainkan mendapat sokongan majoriti dari rakyat, jadi isu menukar Jalur Gemilang kepada Bendera Sang Saka Malaya atau Bendera Rakyat tidak timbul di sini. Pengibaran bendera tersebut malah sebenarnya adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang sejarah sebenar yang disorok dan menghargai pejuang-pejuang yang telah mati dan dipenjarakan semasa menuntut kemerdekaan, bukan hanya perjuangan dari golongan pro-British.

Perlu juga diingat bahawa UMNO menggunakan cogan kata 'Hidup Melayu' semasa penubuhannya pada 1946 dan hanya menukar cogan katanya kepada 'Merdeka' pada tahun 1951 dan KMM telah menggunakan slogan 'Merdeka' sejak tahun 1938 lagi. Ayat dalam laman web Arkib Negara yang berbunyi "Perubahan pucuk pimpinan UMNO dari Dato' Onn Jaafar kepada Tunku Abdul Rahman dilihat sebagai permulaan arus kebangkitan nasionalisme peringkat ketiga iaitu perjuangan menuntut kemerdekaan negara" bagaikan cuba memberitahu bahawa UMNO lah yang memulakan gerakan menuntut kemerdekaan, padahal golongan kiri telah lama berjuang dalam menuntut kemerdekaan dari British.

Lapangkan dada, buka minda dan cari sejarah yang sebenar. Mahukah kita ditipu tentang asal usul bangsa dan negara kita sendiri? Walaupun sejarah itu dipandang sebagai sesuatu yang membosankan dan sesuatu yang berlaku pada masa lampau, namun kecelikan mata kepada sejarah yang sebenar mampu mendorong rakyat merevolusikan minda mereka dan membebaskan mereka dari penjajahan yang memaksa mereka berada di takuk pemikiran lama. Penjajahan kali ini bukanlah dari pihak kolonial Eropah, namun penjajahan oleh pemimpin keturunan Melayu sendiri.

September 1, 2013

Diktator Yang Lucu.

Lucu benar lagakmu
Bila kau harap aku tunduk
Membuntutimu bagai si beruk
Walau hanya jasadku kau takluk.

Lucu benar lagakmu
Bila kau harap aku memuji
Menjilatmu bagai kau suci
Walau dendam jiwaku sarat api benci.

Usah bermimpi untuk dicintai
Bila hati kejimu wajar diludahi
Usah berangan mahu dihormati
Bila kemanusiaanmu terdampar mati.

Kau perosak bangsa
Doaku moga kau binasa.