October 23, 2014

01.

Musuh pertamaku ialah Hati
yang bisikan kecilnya ghairah menggodaku agar raikan kezaliman
yang rengekan manjanya tegas memintaku agar tertawakan kepayahan
Padu suaranya seakan dirancang
tepat, jelas dan lancar. Tidak samar tidak berbayang.

Dalam lelah kusoal pada Hati
Sorot ngeri mana yang paksa kau jadi hodoh begini
Berdusta dalam sedar
Berpura dalam cerah
Senyum manismu cepat menggila jadi seranah
Sungguh, sakitmu parah!

"Aku adalah kamu, kamu adalah aku
sakitku adalah sakitmu, sakitmu adalah sakitku
Benar, buku ilmumu beratus namun kitab angkuhmu beribu
Benar, benih akalmu membagus namun bunga kasihmu membeku
Kau paksa Ego jadi Tuhan
maka dengan taring kebencian, kau akan terus kubaham."

Lalu aku terus menyoal lagi dan lagi
dan berterusan aku lelah, lagi dan lagi
kerana musuh pertamaku ialah Hati dan tetap Hati.



May 1, 2014

Salam Satu Mei.


Salam apresiasi teragung buat kaum-kaum cekal
yang membakar kulit demi akselerasi kemajuan
dan mencumbui perit atas istilah pembangunan.

Salam apresiasi terindah buat kaum-kaum gagah
Yang sinar matanya tiada pernah mempamer lelah
Dan lekuk senyumnya tidak kenal erti mengalah.

Keringat engkau itu jauh lebih memukau
dari suara-suara lantang milik ahli politik
yang janjinya bertuhankan kepalsuan dan 
aksinya berajakan nafsu.

Budi engkau itu jauh lebih mempesona
dari bicara-bicara elit milik kapitalis
yang urusannya berpaksikan ketamakan dan
eksploitasinya beroperasi tanpa malu.

Semarakkanlah jiwamu wahai sang buruh
Sampai kapan harus kau melutut merelakan penindasan?
Sewaktu anak-anakmu merintih perih kelaparan
Yang di atas sana berdansa bersama dollar bertaburan
Bangkitlah!
Kerana itu bisa mencincang dunia
dan meranapkan haloba sang penguasa.

Zana, 1 Mei 2014.

April 30, 2014

Duka Alam.

Biarkan sang dunia mendera kita
dengan suara angin lelah yang menghukum
dan langit kelam yang mempamerkan amarah
pohon rimbun tunduk melayu seakan merajuk
dan jerit mentari yang marak memerah.

Relakan sang dunia melepaskan dendamnya
Pada kita si tuan lalai yang bersultankan haloba
Saat harmoni diperintah agar dijadikan nadi
Tompokan hasad merasuk, mempelopori hati.

Bait-bait janji sang khalifah kini sudah mati
Tiada lagi bergema agung, tiada lagi lantang di corong
Duka, tangis sang alam seperti tidak bererti
Dirobek isinya sehingga keperitan melolong.

Kegilaan kau dan aku ini
Pasti suatu hari nanti memantul
Lalu membunuh diri.

January 19, 2014

Nyah Menyerah.

Seram mengilai suara perit kehidupan
Tatkala bengis takdir tanpa silu menerajang
Lalu jiwa menyerah anak muda itu
Terperosok jauh dalam minda berbayang hak kegelapan.

Sosok itu kaku mengulit bisu
Tiada bunyi tiada bait tiada bara
Tiada bahang api menjulang terserlah dari jiwa
Tiada asmara jagoan memancar dari mata.

Dengan apakah bisa kami didihkan nyala wajamu?
Kerana pekikan sanubarimu mampu membinasa pendoktrinan
Dengan apakah bisa kami mempamer rasa bawah sedarmu?
Kerana tegarnya hatimu mampu membantutkan pendustaan.

Walau direjam, teruskan melawan
Relakan nadi pembebasanmu memuncak
Agar kekejaman bisa mati terpacak.


November 2, 2013

Badut Yang Bangkit.

Mana mampu teriakan kalbu dibiar senyap membisu
Seakan sosok arca keras terkujur membatu
Saat jaluran kepapaan dilepas melebar
Manusia penghuni pinggiran merebak menular.

Apa harus makna penindasan diconteng mencorak intipati dunia?
Apa layak derita insan dianggap lumrah dilabel biasa?
Kian si kedana perit mengengsot jasad mengejar kemajuan
Makin takdirnya terbelenggu terhimpit dek kancah kedoktrinan.

Terjajah minda manusia kerana ghairah belitan wang
Senjata rahsia si kaya buat pamer kesadisan terang
Gelaran demi gelaran dilambung diangkat serupa Tuhan
Lebai tebal di kepala tiada mampu jadi penghalang.

Jawablah insan, apa ini sorotan yang kau banggakan
Melihat kudrat dan tangisan si papa terbakar dalam api keriangan si mewah
Menonton lelah si kedana tenggelam menjadi bayangan keangkuhan pemerintah
Butakah kita untuk terus menyerupai badut jaguh anggukan
Membenar pendustaan dan merelakan kezaliman?

Usah tersipu malu wahai badut sekalian
Ayuh bangkit dan lawan, dengan minda membara
Kerana pesona ciptaan Yang Kaya itu hak semua
Bukan milik mutlak sang boneka bermahkota.