November 2, 2013

Badut Yang Bangkit.

Mana mampu teriakan kalbu dibiar senyap membisu
Seakan sosok arca keras terkujur membatu
Saat jaluran kepapaan dilepas melebar
Manusia penghuni pinggiran merebak menular.

Apa harus makna penindasan diconteng mencorak intipati dunia?
Apa layak derita insan dianggap lumrah dilabel biasa?
Kian si kedana perit mengengsot jasad mengejar kemajuan
Makin takdirnya terbelenggu terhimpit dek kancah kedoktrinan.

Terjajah minda manusia kerana ghairah belitan wang
Senjata rahsia si kaya buat pamer kesadisan terang
Gelaran demi gelaran dilambung diangkat serupa Tuhan
Lebai tebal di kepala tiada mampu jadi penghalang.

Jawablah insan, apa ini sorotan yang kau banggakan
Melihat kudrat dan tangisan si papa terbakar dalam api keriangan si mewah
Menonton lelah si kedana tenggelam menjadi bayangan keangkuhan pemerintah
Butakah kita untuk terus menyerupai badut jaguh anggukan
Membenar pendustaan dan merelakan kezaliman?

Usah tersipu malu wahai badut sekalian
Ayuh bangkit dan lawan, dengan minda membara
Kerana pesona ciptaan Yang Kaya itu hak semua
Bukan milik mutlak sang boneka bermahkota.