August 31, 2013

Manusia Yang Lupa.

Kau manusia yang di sini
Si bourgeoisie pemilik mahligai terjaga rapi
Hidupmu menyelongkar merampok hasil bumi
Matamu liar mencabuli kehormatan pertiwi
Nafsumu rakus menghancur indah pelangi

Namun kau dicinta dicium dipuja
Dijilat punggungmu atas dasar kuasa
Disanjung hati jijikmu dek pangkat dan harta.

Apakah kau lupa perihal mereka?
Mereka manusia di sebelah sana
Si miskin camping yang terbelit oleh derita
Dinodai dan dirodok sinar kemanusiaannya
Dicampak dan diabai tanpa ada yang periksa.

Berbedakah kau dan mereka
Hingga kau pandang mereka sebelah mata?

Nyawa kau lebih berharga?
Mereka juga punyai satu
Kau lebih gah kerana berada?
Ah peduli mampus dengan hartamu.
Usah kau bicara tentang harta bila ia dikaut disauk dengan kepuraan
Usah kau bicara tentang pangkat bila tindak tandukmu penuh kepalsuan

Pergi mati dengan kata manismu
Berjanji mahu mendorong dan membela
Apa kau ingat aku tidak tahu
Lidahmu bertulangkan dusta
Saat kau rajakan serakah kemahuanmu
Membenar penyelewengan korupsi berleluasa.

Tunggu dan lihat
Akan tiba nanti suatu saat
Bila si hina yang kau jelekkan itu
Meneguh penuh jihad menghancurkanmu.





August 30, 2013

Merdeka Dalam Selimut

Hari ini ulangtahun Merdeka
Cuba ku sambut walau terlantar
Hujan Kuala Lumpur punya angkara
Demam panas hebat melanda.

Berselubung berselimut bukan tanda aku tidak patriotik
Aku lebih senang menyendiri, menghargai merdeka dengan buku
Tidak ku kagumi bunga api, juga melihat si rempit melentik
Fetishku memuncak, mencari persahabatan dengan ilmu. 

Kau raikan lah di sana, biarkan aku di sini
Asal Merdeka kau dan aku sama sama punyai erti.


August 28, 2013

R4bia dan Jari.

Empat, tiga, dua atau satu jari
Mengapa perlu mencerca dan memaki
Saat kau membelit lidah menghitung jari di sini
Mereka di sana diburu peluru menghadapi mati.

Inilah perkara yang aku kesalkan
Hal kecil manusia besar besarkan
Niat suci dikecam mengikut syaitan
Ke mana pergi solidaritimu kawan?

Usah peduli soal jari
Ayuh bersama persiapkan diri
Musibah di sana bermula kini
Giliran kita tak lama lagi.

Mimpi Si Gelandangan.

Keriuk bunyi perut memecah keheningan
Sang ibu mengeluh menatap wajah si kecil
Lemah tubuhnya, menggeletar kedinginan
Raut mukanya buntu, tiada pengertian

Sabar ya nak, ujar sang ibu
Butiran mutiara di mata disembunyi
Takut diperhati
Harapannya menjulang pada Yang Kuasa tika itu
Memohon meminta si anak lekas beradu

Kita tiada apa nak, walau secebis roti
Bungkaman suaranya menjerit dalam hati
Namun tidak kuat kudratnya saat itu
Untuk mengatakan yang benar
Untuk mengaku diri gusar
Untuk mengadu dan menyelar.

Dia sedar
Dia berupa si gelandangan
Dia bergelar manusia bawahan
Namun yakinnya pada Yang Menciptakan
Tetap teguh
Tetap kental
Untuk merentasi lembaran hari mendatang.

Moga wujud kelak suatu saat tika ada yang memberi pinjam kudrat
Dan tika ada yang ikhlas menghulur tangan tanpa selindung api muslihat.

August 27, 2013

Demokrasi kah Malaysia?

Malaysia diwar-warkan sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen. Demokrasi boleh diertikan sebagai satu form kerajaan yang membolehkan rakyat secara terus terlibat dalam sistem pemerintahan, terutamanya dengan adanya sistem pilihanraya yang membenarkan rakyat memilih siapa yang menjadi pemerintah. Demokrasi itu sendiri berasal dari perkataan Greek yang bermaksud 'rule of the people', jadi sudah tentu demokrasi seharusnya memberi peluang kepada rakyat menentukan apa yang terbaik untuk mereka dari aspek politik, sosial, budaya dan ekonomi.

Pokoknya, sesebuah negara untuk digelar sebagai negara demokrasi haruslah menonjolkan tujuh ciri-ciri utama iaitu wujudnya kebebasan bersuara, media massa yang bebas dan berkecuali, pilihan raya, kebebasan berorganisasi dan berpersatuan, pemerintahan berasaskan majoriti, hak golongan minoriti dihormati dan akhir sekali wujud badan kehakiman yang bebas dan berkecuali. Malaysia kiranya boleh dipanggil sebagai sebuah negara demokrasi kerana ketujuh-tujuh ciri ini disediakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.

Namun, melalui pembacaan aku dalam artikel Perubahan Generasi dan Perkembangan Demokrasi di Malaysia Pasca Pilihan Raya Umum ke-12 oleh Mujibu Abd Muis, Zaliha Hj. Hussin & Badrul Azmier Mohamed, mereka bersetuju bahawa demokrasi di Malaysia tidak lebih dari bersifat penyamaran (camouflage) kerana amalannya berlainan daripada teori. Beberapa sarjana telah menggelar amalan demokrasi di Malaysia dengan beberapa gelaran antaranya demokrasi tanpa konsensus (Von Vorys, 1975), demokrasi palsu dan separuh (Case, 1993), demokrasi statis ( Jesudason, 1995) dan demokrasi terhad (Crouch, 1996).

Demokrasi di Malaysia adalah paling tidak relevan semasa pemerintahan Mahathir kerana hampir semua bidang kuasa didominasi beliau tanpa mengira kewujudan Separation of Power yang patut diamalkan di negara ini. Beberapa tindakan Mahathir yang dianggap anti-demokrasi adalah Operasi Lalang 1987, pemecatan Anwar Ibrahim 1998, penahanan aktivis-aktivis reformasi 1998-99, dan pengawalan penerbitan Harakah pada tahun 2000. Zakaria Ahmad, seorang political scientist menganggap Malaysia mengamalkan quasi-democracy ataupun separa demokrasi. Ini adalah disebabkan wujudnya pelbagai akta seperti OSA, ISA (yang kini digantikan dengan SOSMA), Societies Act dan Sedition Act yang menghalang ciri-ciri demokrasi itu tadi daripada terjalan sepenuhnya.

Peristiwa PRU13 yang melahirkan banyak rasa tidak puas hati di kalangan rakyat terhadap SPR juga menyebabkan rakyat mula mempertikaikan gelaran 'demokrasi' itu sendiri. Slogan 'Democracy is Dead' mula dilaung-laungkan rakyat kerana mereka merasakan sistem pilihanraya yang tidak adil menggugat hak mereka sebagai seorang rakyat kepada sebuah negara demokrasi. Tindakan kerajaan untuk memansuhkan ISA untuk menunjukkan Malaysia ini sebuah negara demokrasi juga tidak berjaya kerana ISA itu sendiri digantikan dengan SOSMA yang tetap mempunyai prinsip yang sama seperti ISA.

Kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu demokrasi semakin meninggi dan lebih banyak kritikan terhadap media yang tidak bebas, sistem kehakiman yang dikawal dan kepincangan sistem pilihanraya yang dibangkitkan rakyat dan ini telah meresahkan pihak kerajaan. Penyebaran hegemoni oleh kerajaan dengan menyekat demokrasi ini juga semakin kurang berjaya kerana wujudnya counter-hegemoni yang dilakukan pelbagai pihak melalui demonstrasi dan media alternatif seperti laman sosial.

Konklusinya, Malaysia tidak layak untuk diberi gelaran negara demokrasi secara keseluruhannya kerana amalan yang dipraktikkan oleh kerajaan Malaysia itu berbeza dengan teori demokrasi yang sebenarnya.



Pelangsung harapan.

Ku pandang wajah itu
Redup
Mata bundar dan pandangan kejapnya
Ada sinar walau kotoran terzahir
Ada harapan memancar buatku berfikir.

"Terima kasih."
Sekelumit senyuman terlahir buat aku terpana
Lalu hilang dalam sayup kerlipan malam.

Aku masih di situ tidak berganjak
Terkaku seumpama boneka
Tanpa dipinta air mata bergenang
Layu tubuh kecil itu lesap dalam pelusuk ramai
Baju buruk dan capal campingya tidak mudah dinyah dari minda.

Oh Tuhan.
Ampunkan aku kerana aku hanya si sahaya
Tiada bisa membela nasib si bocah kecil yang terbuang
Ku pohon kekuatan dari Kau yang ku percaya
agar keringat tubuhku bantu mereka di jalanan
Agar senyuman yang ku tatap tadi kekal
Tiada pudar, tiada hilang.