August 27, 2013

Demokrasi kah Malaysia?

Malaysia diwar-warkan sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen. Demokrasi boleh diertikan sebagai satu form kerajaan yang membolehkan rakyat secara terus terlibat dalam sistem pemerintahan, terutamanya dengan adanya sistem pilihanraya yang membenarkan rakyat memilih siapa yang menjadi pemerintah. Demokrasi itu sendiri berasal dari perkataan Greek yang bermaksud 'rule of the people', jadi sudah tentu demokrasi seharusnya memberi peluang kepada rakyat menentukan apa yang terbaik untuk mereka dari aspek politik, sosial, budaya dan ekonomi.

Pokoknya, sesebuah negara untuk digelar sebagai negara demokrasi haruslah menonjolkan tujuh ciri-ciri utama iaitu wujudnya kebebasan bersuara, media massa yang bebas dan berkecuali, pilihan raya, kebebasan berorganisasi dan berpersatuan, pemerintahan berasaskan majoriti, hak golongan minoriti dihormati dan akhir sekali wujud badan kehakiman yang bebas dan berkecuali. Malaysia kiranya boleh dipanggil sebagai sebuah negara demokrasi kerana ketujuh-tujuh ciri ini disediakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.

Namun, melalui pembacaan aku dalam artikel Perubahan Generasi dan Perkembangan Demokrasi di Malaysia Pasca Pilihan Raya Umum ke-12 oleh Mujibu Abd Muis, Zaliha Hj. Hussin & Badrul Azmier Mohamed, mereka bersetuju bahawa demokrasi di Malaysia tidak lebih dari bersifat penyamaran (camouflage) kerana amalannya berlainan daripada teori. Beberapa sarjana telah menggelar amalan demokrasi di Malaysia dengan beberapa gelaran antaranya demokrasi tanpa konsensus (Von Vorys, 1975), demokrasi palsu dan separuh (Case, 1993), demokrasi statis ( Jesudason, 1995) dan demokrasi terhad (Crouch, 1996).

Demokrasi di Malaysia adalah paling tidak relevan semasa pemerintahan Mahathir kerana hampir semua bidang kuasa didominasi beliau tanpa mengira kewujudan Separation of Power yang patut diamalkan di negara ini. Beberapa tindakan Mahathir yang dianggap anti-demokrasi adalah Operasi Lalang 1987, pemecatan Anwar Ibrahim 1998, penahanan aktivis-aktivis reformasi 1998-99, dan pengawalan penerbitan Harakah pada tahun 2000. Zakaria Ahmad, seorang political scientist menganggap Malaysia mengamalkan quasi-democracy ataupun separa demokrasi. Ini adalah disebabkan wujudnya pelbagai akta seperti OSA, ISA (yang kini digantikan dengan SOSMA), Societies Act dan Sedition Act yang menghalang ciri-ciri demokrasi itu tadi daripada terjalan sepenuhnya.

Peristiwa PRU13 yang melahirkan banyak rasa tidak puas hati di kalangan rakyat terhadap SPR juga menyebabkan rakyat mula mempertikaikan gelaran 'demokrasi' itu sendiri. Slogan 'Democracy is Dead' mula dilaung-laungkan rakyat kerana mereka merasakan sistem pilihanraya yang tidak adil menggugat hak mereka sebagai seorang rakyat kepada sebuah negara demokrasi. Tindakan kerajaan untuk memansuhkan ISA untuk menunjukkan Malaysia ini sebuah negara demokrasi juga tidak berjaya kerana ISA itu sendiri digantikan dengan SOSMA yang tetap mempunyai prinsip yang sama seperti ISA.

Kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu demokrasi semakin meninggi dan lebih banyak kritikan terhadap media yang tidak bebas, sistem kehakiman yang dikawal dan kepincangan sistem pilihanraya yang dibangkitkan rakyat dan ini telah meresahkan pihak kerajaan. Penyebaran hegemoni oleh kerajaan dengan menyekat demokrasi ini juga semakin kurang berjaya kerana wujudnya counter-hegemoni yang dilakukan pelbagai pihak melalui demonstrasi dan media alternatif seperti laman sosial.

Konklusinya, Malaysia tidak layak untuk diberi gelaran negara demokrasi secara keseluruhannya kerana amalan yang dipraktikkan oleh kerajaan Malaysia itu berbeza dengan teori demokrasi yang sebenarnya.



No comments: