October 23, 2014

01.

Musuh pertamaku ialah Hati
yang bisikan kecilnya ghairah menggodaku agar raikan kezaliman
yang rengekan manjanya tegas memintaku agar tertawakan kepayahan
Padu suaranya seakan dirancang
tepat, jelas dan lancar. Tidak samar tidak berbayang.

Dalam lelah kusoal pada Hati
Sorot ngeri mana yang paksa kau jadi hodoh begini
Berdusta dalam sedar
Berpura dalam cerah
Senyum manismu cepat menggila jadi seranah
Sungguh, sakitmu parah!

"Aku adalah kamu, kamu adalah aku
sakitku adalah sakitmu, sakitmu adalah sakitku
Benar, buku ilmumu beratus namun kitab angkuhmu beribu
Benar, benih akalmu membagus namun bunga kasihmu membeku
Kau paksa Ego jadi Tuhan
maka dengan taring kebencian, kau akan terus kubaham."

Lalu aku terus menyoal lagi dan lagi
dan berterusan aku lelah, lagi dan lagi
kerana musuh pertamaku ialah Hati dan tetap Hati.