Pernah sekali berkasut Puma
warnanya merah, harga seratus lima
sana sini orang memuji
buat kubangga, riang hati
Namun riangku cuma dua minggu
kasut Pumaku, jejaknya tak tahu
entah dikebas penyeluk saku
entah ghaib disorok hantu.
geram memang geram
berang tentu berang
Tetapi, bagaimana jika
Pumaku sedang menghalang batu-batu kecil
daripada melukakan tumit sang musafir
atau Pumaku kini berupa gadaian
buat ibu dan anak menjamah makanan.
Bukankah itu cara paling luar biasa
untuk Yang Maha memaksa
aku derma seratus lima?
juga cara paling keras
untuk alam membidas
perlakuanku membeli Puma
ketika wujud kaki-kaki ayam di kaki lima.
dan kini
jangankan berkasut Puma
ke jualan murah Vincci pun, kutelaah seribu kali!
No comments:
Post a Comment